03 January 2012

Sujud Tilawah

Soal Jawab Bersama Ustaz, berkenaan Sujud Tilawah dalam Solat...


Azam: Ustaz. tolong jelaskan "perlu diingat adalah batal/tidak sah solat sesorang itu apabila membaca surah yg lain umpamanya membaca surah Al Alaq dan berniat untuk sujud. tetapi kalau kebetulan membaca surah berkenaan lalu sujud tidaklah batal solatnya". dipetik daripada buku Usatz Ismail Kamus. Indahnya Hidup Bersyariat.

Ustaz Al-Alorstari: Azam,Memang pun begitu jika sengaja membacanya di dalam solat semata-mata untuk sujud maka batal. Tetapi jika membaca quran bekebetulan sampai ayat tersebut maka tidak mengapa contoh seperti solat terawikh 1 juzuk.

Azam: Ustaz jika imam sengaja memilih ayat yg terdapat Sujud tilawah, macam mana? imam solat Maghrib, Isyak & Subuh sambil melihat quran...Cuma sebelum solat, imam akan beritahu terdapat sujud tilawah pada rekaat ... kekadang solat zuhur pun imam memilih ayat yang ada sujud tilawah.. Terima Kasih Ustaz.

Ustaz Al-Alorstari: Azam, itu lah yang dimaksudkan oleh Ustaz Ismail Kamus. Ianya dilarang dan lagi membaca quran dengan membuka mushaf dilarang oleh sesetengah Ulama. Kaedahnya "ma tsyassaru minah quran". Maksudnya "apa yg mudah daripada Quran" yakni yg termampu oleh imam. Ianya dilarang miski pun diberitahu oleh imam. Sesetengah ulama mutakhir membenarkan atas alasan "ihya Ramadhan".Itu sahaja.wallahualam

02 January 2012

Waktu Solat Malaysia 2012.

Salam Tahun Baru masihi...

Sempena tahun baru 2012 ini saya ingin berkongsi Waktu Solat 2012, semoga ianya bermenafaat untuk kita semua...

Kepada pembina software ini. Semoga Allah swt memberikan ganjaran yang besar kepada anda semua. Saya sudah gunakan software waktu solat ni sejak 2009 lagi tanpa masalah, tetapi ianya adalah diatas platform java.

Untuk makluman, waktu solat ini tidak boleh digunakan pada hp jenis android. semoga Allah swt memberkati usaha mereka semua. Amin…

Untuk Hp android anda boleh mendapatkannya di Android market...

Sila tekan untuk muat turun: Waktu Solat Malaysia 2012

21 December 2011

Published with Blogger-droid v2.0.2

15 September 2011

Raya...

Raya tahun ni, seperti biasa di Kuala Trengganu. Rasa2 nya dah lima tahun di sana. Semenjak Abah duduk sekali. Sebelum tu sistem giliran diamalkan. Tahun ni Johor, tahun depan KT begitulah seterusnya... So kalau Abah kahwin lagi dan aku ada ibu tiri maka sistem giliran akan dikuatkuasakan semula...

Sesapa yang ada calon untuk Abah boleh la tolong rekomen, dah lebih 6 tahun abah menduda, puas gak cari sana sini tapi belum jodoh...



Raya di sana meriah juga sanak saudara dekat jadi ramai la yang datang dan pergi... Tok Maa ada 13 cucu yang kebanyakan sebaya, jadi riuh rendah la rumah tu dengan budak2. Malam plk huru hara dengan bunyi mercun...

Pagi raya selepas bersalaman, biasanya rumah Tok Maa akan dikunjungi sanak saudara pok Cik MOk Cik dll. Biasanya raya kedua atau ketiga baru kami berkesempatan pergi kerumah saudara mara yg lain....

Suasana malam raya...

Main bunga api satu kemestian...
Tahun ni, bunga api dan mercun di taja oleh Pok Aris...

Menu wajib pagi raya... satay.

Sebelum gi solat sunnat...

Tok maa dengan 13 cucu... opps ada 3 lagi x masuk gambar so total 16 la...

Maaf kan kami... maafkan kami... maaf..kan..kami... ada duit raya tu...

Semua berkumpul kecuali Abg Ipar yg sulung je...

Dah besar pun dapat duit raya...

BCop seronok dapat duit banyak...


My Family...

Akhir sekali jemput la datang rumah...

14 September 2011

lupa...

Akhirnya... Dapat juga aku buat entry baru.
Ini gara gara lupa password.
Banyak sangat benda yg kena ingat dalam dunia ni.
Dan yg penting manusia memang mudah lupa.
Lupa diri, lupa password, lupa sejarah, lupa agama.. Dsb...
Sebab tu kena ada peringatan.
Sebab memberi peringatan itu bermenafaat bagi org mukmin.

27 July 2011

Mari beramal...

ISLAM adalah agama yang serba lengkap meliputi­ keseluruhan aspek penghidupan termasuk dalam usaha mencari sumber rezeki. Dalam mencari rezeki, berbagai kaedah ditunjukkan oleh nabi kepada kita. Antara kaedahnya ialah dengan memanjatkan doa kepada Allah supaya dipermudahkan usaha pencarian sumber hidup. Untuk itu solat dhuha adalah jawapannya.

Solat Dhuha boleh menjadi senjata paling unik yang disediakan Allah buat setiap hamba-Nya membuka pintu rezeki. Sebenarnya solat Dhuha adalah petunjuk yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Dikatakan baginda selalu melakukan solat Dhuha walau dimana saja.

Rasulullah bersabda, “Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung menyatakan “Wahai anak Adam. Cukuplah Aku dengan melakukan empat rakaat solat Dhuha pada pagi hari, maka Aku pasti mencukupi keperluan mu pada akhir hayatmu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Ya’la)”

Kata Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menjauhkan kemiskinan dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman: “Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.” (Riwayat Ahmad)

Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Banyak hadis-hadis yang mengalakkan solat sunat Dhuha dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya: “Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.” Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas” (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Biasanya selepas al-Fatihah di rakaat pertama, digalakkan kita membaca Surah Al-Syams dan di rakaat kedua selepas membaca al-Fatihah dibaca pula Surah ad-Dhuha. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Menurut hadith Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi). Menurut pandangan lain, Waktu Dhuha bermula sejam selepas syuruk, dan berakhir setengah jam sebelum masuk waktu Zuhur.

Selepas member salam, bolehlah membaca doa seperti di bawah ini.

Ya Allah sesungguhnya waktu dhuha itu dhuha-Mu
Kecantikannya kecantikan-Mu…Keindahannya keindahan-Mu
Kekuatannya kekuatan-Mu…Kekuasaannya kekuasaan-Mu
Perlindungannya perlindungan-Mu…

Ya Allah jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi keluarkanlah…Jika sukar permudahkanlah
Jika haram sucikanlah…Jika jauh dekatkanlah

Berkat waktu dhuha
Kecantikan-Mu keindahan-Mu kekuatan-Mu kekuasaan-Mu

Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh


Semoga saya, tuan, puan, saudara, saudari adik dapat amal dengan istiqamah dan sampaikan....

16 July 2011

Hukum Puasa Selepas Nisfu Sya'aban

Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya’baan (hari 15 Sya’baan). Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu’tamad dalam Mazhab Syafi`i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya’baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi`i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi`i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam “Sunan at-Tirmidzi”, juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-

“Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh ‘Abdul ‘Aziiz bin Muhammad, daripada al-’Alaa` bin ‘Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW: “Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya’baan, maka janganlah kamu berpuasa”. Dan telah berkata Abu `Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): “Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini.

Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-

Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda: “Apabila masuk separuh bulan Sya’baan, maka janganlah kamu berpuasa.”

Imam ash-Shan`ani dalam “Subulus Salam” juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-’Alaa` bin `Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan`aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-’Alaa` bin ‘Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam “at-Taqrib” menghukumkan al-’Alaa` bin ‘Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau dipercayai).

Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya’baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya’baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya’baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya’baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-

  1. puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama (separuh pertama) bulan Sya’baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya’baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya’baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya’baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya’baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya’baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya’baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.
  2. puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang (yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah mewiridkan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan wiridnya itu.
  3. puasa qadha` samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu
  4. puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya’baan. Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya’baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya’baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.

Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya’baan menurut Mazhab Syafi`i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam “Anwarul Masaalik syarah ‘Umdatis Saalik wa ‘Uddatin Naasik” karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-

(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya’baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam “al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah”, jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-

Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya’baan, ialah hadits Sayyidatina ‘Aisyah r.`anha yang menyatakan: “Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya’baan”, hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: “Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya’baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya’baan”, dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- “Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya’baan keseluruhannya kecuali sedikit.”………. Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya’baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya’baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya’baan tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: “Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya’baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan”, adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya’baan).

Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau “Fathul Mu`in”pada halaman 60:-

(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ……., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya’baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha` walaupun hanya qadha` puasa sunnat.

Penjelasan ‘Allaamah Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani dalam “Fathul ‘Allam” juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-

Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya’baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.

Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya’baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi`i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui

Puasa Selepas Nishfu – 2

Rupa-rupanya ada yang tersalah tanggap bahawa dengan dihukumkan haram berpuasa selepas Nishfu Sya’baan bererti kita tidak digalakkan berpuasa dalam bulan Sya’baan. Pengertian tersebut jelas menyalahi yang sebenar kerana apa yang benar ialah kita digalakkan memperbanyakkan berpuasa dalam bulan Sya’baan sebab telah warid beberapa hadits berhubung dengannya. Akan tetapi ianya hendaklah dimulakan sejak nishfu pertama bulan Sya’baan dan berterusan hingga menjelang Ramadhan. Oleh itu, apabila dalam mazhab kita menghukumkan HARAM DAN TIDAK SAH berpuasa sunnat, selain daripada apa yang diberikan pengecualiannya, maka tidaklah bermakna kita tidak menggalakkan orang berpuasa dalam bulan Sya’baan yang mulia. Fahamilah dengan benar.

Sebagai tambahan, kita lihat lagi keterangan mengenai hukum berpuasa selepas Nishfu Sya’baan ini dari beberapa karya ulama kita di Nusantara ini. Tok Syaikh Zainal ‘Abidin bin Muhammad al-Fathani @ Tuan Minal rahimahUllah dalam karya beliau “Kasyful Litsaam ‘an as-ilatil anaam” jilid 1 halaman 106 – 107 menulis, antara lain:-

Haram puasa dua hari raya dan Hari Syak dan segala Hari Tasyriq yang tiga dan nishfu yang keuda daripada bulan Sya’baan bagi yang lain daripada puasa mempunyai sebab, jika tiada dihubung akan dia dengan barang yang dahulunya dan tiada jdi puasa [yakni tidak sah puasa tersebut], intaha.

Tok Syaikh Muhammad bin Ismail Daud Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik rahimahUllah pula menulis dalam “Mathla`ul Badrain wa Majma`ul Bahrain” pada halaman 62 – 63:-

… Dan seperti haram puasa Hari Syak, haram puasa dengan tiada sebab pada nishfu yang kedua daripada Sya’baan, jika tiada dihubungkan dia dengan barang yang dahulunya dan hasil berhubung dengan barang yang dahulunya jikalau dengan hari yang ke 15 sekalipun dan berkekalan puasanya hingga akhirnya. Maka jika dihubungkan dia dengan barang yang dahulunya kemudian berbuka ia padanya, haram atasnya puasa kemudian daripadanya dengan tiada sebab yang telah terdahulu sebutnya.

Jika dua ulama tersebut di atas tadi mewakili ulama kita yang awal dan terdahulu, maka ini pula petikan tulisan daripada dua orang ulama kita yang sezaman. Ustaz Muhammad Taha bin Syaikh Muhammad Fadhlullah bin Syaikh Muhammad `Abdullah as-Suhaimi rahimahUllah menulis dalam karya beliau “Puasa & Zakat Harta” pada fasal “Hari-Hari Yang Haram Dikerjakan Puasa Didalamnya Serta Tidak Sah Puasa Itu” di halaman 68 – 69:-

Segala hari yang letaknya di dalam separuh yang kedua bagi bulan Sya’ban, iaitu daripada 16 Sya’ban hingga akhirnya, kerana Nabi s.a.w. telah bersabda:-“Apabila sampailah bulan Sya’ban itu separuhnya maka janganlah kamu berpuasa.”

Tetapi jika seorang itu beradat sentiasa puasa, atau ia puasa tiap-tiap selang hari, atau ia puasa tiap-tiap hari Isnin dan Khamis, maka tiadalah haram ia puasa pada separuh yang kedua bagi bulan Sya’ban itu untuk meneruskan adatnya. Demikian juga sah dan tidak haram di dalam separuh yang kedua bulan Sya’ban jika puasa itu kerana menqada’kan puasa yang telah tertinggal, atau puasa itu kerana nazar atau kerana kafarah. Demikian juga sah dan tidak haram seseorang puasa di dalam separuh yang kedua bagi bulan Sya’ban itu jika ia puasa di dalam separuh yang pertama bagi bulan Sya’ban lalu ia terus puasa hingga masuk pada separuh yang kedua bagi Sya’ban itu, seperti ia puasa pada 15 Sya’ban dan 16 Sya’ban atau ia puasa daripada sebelum 15 Sya’ban dan terus puasa hingga selepas 15 Sya’ban, iaitu tidak boleh ditinggalkan 15 dan 16 Sya’ban itu. Jika ia puasa di dalam separuh yang pertama bagi Sya’ban hingga masuk terus ke dalam separuh yang kedua maka jika ia berhenti puasa sehari pun di dalam separuh yang kedua bagi Sya’ban nescaya haramlah ia sambung lagi puasanya pada bila-bila hari hingga akhir Sya’ban, melainkan kerana qada’ atau nazar atau kafarah maka sahlah puasanya sebagaimana telah tersebut tadi.

Ustaz Segaf bin Hasan Baharun hafizahUllah, ulama muda murid Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith dan Pengasuh Pondok Puteri Pesantren Darul Lughah wad Da’wah, Bangil, Jawa Timur, menulis dalam karangannya “Sudah Sahkah Puasa Anda?” pada fasal “Hari-hari Yang Diharamkan Untuk Berpuasa” di halaman 39-40 menyatakan:-

Separuh Kedua Dari Bulan Sya’ban

Berpuasa pada separuh kedua dari bulan Sya’ban hukumnya haram berdasarkan sabda Rasul Saw:-Artinya: “Jika sudah masuk separuh kedua dari bulan Sya’ban, maka janganlah kalian berpuasa”.

Dan yang dimaksud separuh kedua adalah tanggal 16, 17, 18 sehingga akhir bulan. Akan tetapi jika berpuasa pada hari-hari itu, begitu pula hari syak, untuk mengerjakan puasa wajib, misalnya qado’ puasa Ramadlan, kaffarah dan lain-lain, atau sudah terbiasa setiap Senin Kamis berpuasa, atau berpuasa Daud, atau juga jika disambung dengan hari sebelumnya, misalnya puasa hari 15, maka boleh puasa hari ke-16 dan seterusnya. Maka puasa-puasa tersebut di atas tidak haram pada hari – hari itu.

Diharap kita memahami ketentuan hukum ini dengan jelas. Banyakkanlah berpuasa dalam bulan Sya’baan, asal sahaja tidak melanggar ketentuan yang dinyatakan oleh para ulama kita.

http://pondokhabib.wordpress.com/2011/07/15/puasa-selepas-nishfu-1/

http://pondokhabib.wordpress.com/2011/07/15/puasa-selepas-nishfu-2/